Pengejar

Thursday 19 September 2013

Mata Moon

Ini tugasan esaimen Bahasa Melayu Komunikatif.

Tajuk dia Mata Moon.

Moral Values : Kawanlah dengan semua orang.

            Mata Moon

Meleleh laju air mata Moon. Jatuh ke tanah. Terasa kakinya lemah, tak bermaya. Bagai tiada kuderat untuk menampung dirinya yang membawa sekeping hati. Hati yang terkesan dek penghinaan rakan-rakan sekampung. Sebaya.

            “Woi, cacat! Yang engkau sibuk datang sini buat apa? Cawilah orang cacat yang sewupa macam engkau buat kawan,” Jerkah Adi yang masih pelat bila bersuara. Tangan dicekakkan ke pinggang sambil menjeling ke arah Moon. Bagi Adi, Moon yang berlainan jantina dengannya serta cacat penglihatan sebelah mata tidak layak berkawan dengannya. Hina. Jijik.

            “Kau pewgi kawan dengan ular! Sama-sama buta,”.

            Meskipun mata kirinya tidak dapat lihat keangkuhan dan kesombongan Adi, tetapi mata itulah yang sering mengalirkan air mata. Seolah-olah mata itu lebih sedih dari diri Moon kerana ia adalah punca Moon dipinggirkan Adi dan rakan sebaya yang lain.

***
            “Moon, kau dah ciap kerja Matematik ke bewum?” Adi terus merampas buku latihan Moon.

            “Dah. Kau nak tiru ke? Boleh je. Tapi kau kena kawan dengan aku,” kata Moon sambil mata kanannya memandang tepat ke arah mata Adi.

            Adi terus membawa buku Moon ke tempat duduknya. Dalam tiga minit, selesai semua kerja disalin. Tidak senombor pon tertinggal. Adi berlari ke meja Moon semula. Kali ini dengan senyuman. Senyuman puas hati. Lega. Jika Cikgu Murni yang tak pernah bermuka manis itu menyemak bukunya nanti, sudah pasti dia dipuji. Jawapan Moon selalunya betul.

            “Moon, ni buku kau. Tewima kasih tau! Kaulah kawan baik aku” Adi senyum sinis selepas memulangkan buku Moon.

            Itulah kali pertama Moon rasa dirinya diterima. Senyuman yang terukir di bibir Moon hampir mencecah ke telinganya. Gembira kerana Adi merupakan kawan pertamanya. Sebelum ini, tiada sapa yang pernah mengaku dirinya yang cacat itu sebagai kawan.

***

            “Bagi tangan kamu! Kenapa kamu tidak siapkan kerja rumah yang cikgu bagi semalam?” Cikgu Murni menjegilkan mata sambil menarik tangan Moon.

            “Ta..ta..tapi..”

            Piaaang! Laju rotan dibidas ke tangan Moon. Merah tapak tangan Moon kesan rotan yang bersaiz kecil tapi amat bisa bila Cikgu Murni yang menggunakannya. Rotan itu telah berjasa pada Cikgu Murni sejak dia mula menjadi cikgu disiplin di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi. Muka Moon merah padam. Malu dirotan dihadapan murid 5 Tekun.

            “Tapi saya dah siapkan semalam cikgu! Saya tak tipu. Tadi Adi…” belum sempat Moon menjelaskan, Cikgu Murni terus mengarahkan Moon untuk balik ke tempat duduknya. Mata kiri Moon mula menitiskan air mata kesedihan. Senyumannya yang manis sebentar tadi ibarat telah dicampur dengan cuka. Pipinya yang putih melepak dibasahi air mata.

            “Cuba tengok bawah meja kau,” bisik Adi lalu mengenyit mata.

Sekeping kertas yang tercarik. Direnyuk. Moon tahu bahawa ini semua kerja Adi. Adi telah mengoyak helaian kertas yang tertulis jawapan kerja sekolahnya semalam. Hati Moon sakit. Hati Moon remuk. Hati Moon hancur. Seumur hidupnya, hanya beberapa minit dia merasa perasaan mempunyai seorang kawan. Tapi kawan itulah yang telah melontar hatinya ke arah batu yang tajam. Kini hatinya berdarah. Didarahi pengkhianatan.

***
            Ucapan terima kasih dapat didengari di setiap kelas. Loceng tamat persekolahan baru sahaja berbunyi. Moon memerhati Adi. Moon ingin sekali menemani ‘kawan’ barunya pulang ke rumah. Moon masih belum berputus asa. Mana mungkin hubungan kawan putus begitu sahaja. Ibunya pernah berpesan, “kalau Moon ada kawan, kawan biar sampai mati,”. Moon tidak pernah ingkar dengan nasihat ibunya yang selama ini menjadi punca duka dihilangkan.

            Sedang asyik Moon leka terfikirkan nasihat ibunya, dia terlihat seekor ular tedung sedang mendekati Adi. Moon risau, ular itu akan mematuk kawan baiknya. Moon segera menggapai dahan yang kering di tanah lalu berlari ke arah Adi. Moon cuba memukul ular tedung tadi tapi terkena kepala Adi. Adi pengsan tak sedarkan diri. Ular tadi hilang entah ke mana ia menyorokkan diri. Mungkin takut dengan mata Moon.

            “Adi! Bagunlah!” Moon cuba menyedarkan Adi.

            Moon melihat ke arah hujung dahan yang dipegangnya. Tajam. Lalu Moon memerhatikan mata Adi yang sempurna.

            “Kitakan kawan baik. Mesti kau nak rasa apa yang aku rasakan? Barulah kau boleh faham kawan baik kau ni,” Moon bermonolog sambil mengusap dahan kering yang tajam di mata kiri Adi.

            Senyuman yang terukir di bibir Moon hampir mencecah ke telinganya sekali lagi.

            “Aku dah ada kawan baik,”.