Tajuk dia Mata Moon.
Moral Values : Kawanlah dengan semua orang.
Mata Moon
Meleleh laju air mata Moon. Jatuh ke
tanah. Terasa kakinya lemah, tak bermaya. Bagai tiada kuderat untuk menampung
dirinya yang membawa sekeping hati. Hati yang terkesan dek penghinaan
rakan-rakan sekampung. Sebaya.
“Woi,
cacat! Yang engkau sibuk datang sini buat apa? Cawilah orang cacat yang sewupa
macam engkau buat kawan,” Jerkah Adi yang masih pelat bila bersuara. Tangan
dicekakkan ke pinggang sambil menjeling ke arah Moon. Bagi Adi, Moon yang
berlainan jantina dengannya serta cacat penglihatan sebelah mata tidak layak
berkawan dengannya. Hina. Jijik.
“Kau
pewgi kawan dengan ular! Sama-sama buta,”.
Meskipun mata kirinya tidak dapat
lihat keangkuhan dan kesombongan Adi, tetapi mata itulah yang sering
mengalirkan air mata. Seolah-olah mata itu lebih sedih dari diri Moon kerana ia
adalah punca Moon dipinggirkan Adi dan rakan sebaya yang lain.
***
“Moon,
kau dah ciap kerja Matematik ke bewum?” Adi terus merampas buku latihan
Moon.
“Dah.
Kau nak tiru ke? Boleh je. Tapi kau kena kawan dengan aku,” kata Moon
sambil mata kanannya memandang tepat ke arah mata Adi.
Adi terus membawa buku Moon ke
tempat duduknya. Dalam tiga minit, selesai semua kerja disalin. Tidak senombor
pon tertinggal. Adi berlari ke meja Moon semula. Kali ini dengan senyuman.
Senyuman puas hati. Lega. Jika Cikgu Murni yang tak pernah bermuka manis itu
menyemak bukunya nanti, sudah pasti dia dipuji. Jawapan Moon selalunya betul.
“Moon,
ni buku kau. Tewima kasih tau! Kaulah kawan baik aku” Adi senyum sinis
selepas memulangkan buku Moon.
Itulah kali pertama Moon rasa
dirinya diterima. Senyuman yang terukir di bibir Moon hampir mencecah ke
telinganya. Gembira kerana Adi merupakan kawan pertamanya. Sebelum ini, tiada
sapa yang pernah mengaku dirinya yang cacat itu sebagai kawan.
***
“Bagi tangan kamu! Kenapa kamu tidak
siapkan kerja rumah yang cikgu bagi semalam?” Cikgu Murni menjegilkan mata
sambil menarik tangan Moon.
“Ta..ta..tapi..”
Piaaang! Laju rotan dibidas ke
tangan Moon. Merah tapak tangan Moon kesan rotan yang bersaiz kecil tapi amat
bisa bila Cikgu Murni yang menggunakannya. Rotan itu telah berjasa pada Cikgu
Murni sejak dia mula menjadi cikgu disiplin di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi.
Muka Moon merah padam. Malu dirotan dihadapan murid 5 Tekun.
“Tapi saya dah siapkan semalam
cikgu! Saya tak tipu. Tadi Adi…” belum sempat Moon menjelaskan, Cikgu Murni
terus mengarahkan Moon untuk balik ke tempat duduknya. Mata kiri Moon mula
menitiskan air mata kesedihan. Senyumannya yang manis sebentar tadi ibarat
telah dicampur dengan cuka. Pipinya yang putih melepak dibasahi air mata.
“Cuba tengok bawah meja kau,” bisik
Adi lalu mengenyit mata.
Sekeping kertas yang tercarik.
Direnyuk. Moon tahu bahawa ini semua kerja Adi. Adi telah mengoyak helaian
kertas yang tertulis jawapan kerja sekolahnya semalam. Hati Moon sakit. Hati
Moon remuk. Hati Moon hancur. Seumur hidupnya, hanya beberapa minit dia merasa
perasaan mempunyai seorang kawan. Tapi kawan itulah yang telah melontar hatinya
ke arah batu yang tajam. Kini hatinya berdarah. Didarahi pengkhianatan.
***
Ucapan terima kasih dapat didengari
di setiap kelas. Loceng tamat persekolahan baru sahaja berbunyi. Moon memerhati
Adi. Moon ingin sekali menemani ‘kawan’ barunya pulang ke rumah. Moon masih
belum berputus asa. Mana mungkin hubungan kawan putus begitu sahaja. Ibunya
pernah berpesan, “kalau Moon ada kawan, kawan biar sampai mati,”. Moon tidak
pernah ingkar dengan nasihat ibunya yang selama ini menjadi punca duka
dihilangkan.
Sedang asyik Moon leka terfikirkan
nasihat ibunya, dia terlihat seekor ular tedung sedang mendekati Adi. Moon
risau, ular itu akan mematuk kawan baiknya. Moon segera menggapai dahan yang
kering di tanah lalu berlari ke arah Adi. Moon cuba memukul ular tedung tadi
tapi terkena kepala Adi. Adi pengsan tak sedarkan diri. Ular tadi hilang entah
ke mana ia menyorokkan diri. Mungkin takut dengan mata Moon.
“Adi! Bagunlah!” Moon cuba
menyedarkan Adi.
Moon melihat ke arah hujung dahan
yang dipegangnya. Tajam. Lalu Moon memerhatikan mata Adi yang sempurna.
“Kitakan kawan baik. Mesti kau nak
rasa apa yang aku rasakan? Barulah kau boleh faham kawan baik kau ni,” Moon
bermonolog sambil mengusap dahan kering yang tajam di mata kiri Adi.
Senyuman yang terukir di bibir Moon
hampir mencecah ke telinganya sekali lagi.
“Aku
dah ada kawan baik,”.
No comments:
Post a Comment